Berdepan dengan individu yang suka mengejek fizikal orang lain atau body shaming boleh menjejaskan keyakinan diri.
Gadis Pesona Ahad minggu ini, Maxene Anak Chakong tidak terlepas daripada menjadi mangsa body shaming. Walau bagaimanapun gadis berusia 21 tahun itu berpegang kepada prinsip setiap manusia itu memiliki kekurangan dan kelebihan tersendiri.
Kepada Kosmo! Ahad, Maxene atau lebih mesra dipanggil Mae yang merupakan anak kelahiran Bumi Kenyalang itu bercerita lanjut mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang diri Mae?
Saya merupakan anak jati Sarawak dan menetap di Betong. Ketika ini, saya aktif sebagai model. Mula-mula memang rasa malu dan rendah diri, lama-kelamaan seronok. Bidang ini dapat meningkatkan keyakinan diri terutama ketika beraksi di hadapan kamera dan orang ramai.
Aktiviti Mae ketika masa lapang?
Saya suka mendaki bukit dan sering melakukan aktiviti tersebut sekiranya ada masa terluang. Baru-baru ini, saya mendaki Puncak Malindo 144 yang terletak di Padawan.
Selain model, apa pekerjaan yang dilakukan Mae?
Saya menjadi ejen produk minyak wangi jenama tempatan sejak empat tahun lalu. Saya menyertai perniagaan ini untuk mencari pendapatan sementara menunggu keputusan temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam bidang kejururawatan. Selain itu, saya turut menjual produk kecantikan.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
Sudah tentu ada. Saya pernah diejek kerana ketinggian kononnya tidak layak untuk bergelar model. Ada yang terkejut ketika bersemuka dengan saya kerana saya rendah. Bagaimanapun, ia tidak melemahkan semangat saya. Semua orang perlu tahu cantik tidak semestinya berkulit putih, kurus dan tinggi. Kalau dulu memang terasa bila ketinggian dijadikan bahan jenaka, sekarang saya lebih matang.
Pernah dikhianati orang tersayang?
Saya pernah melalui situasi itu dan ambil pendekatan memaafkan mereka.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Memiliki sifat matang tidak semestinya dalam hubungan, tetapi bersikap tidak pentingkan diri sendiri dan bertolak-ansur.
Apa impian Mae?
Menjadi seorang jururawat. Saya masih menunggu keputusan temu duga kerana minat pekerjaan itu sejak di bangku sekolah lagi selepas melihat ibu saudara komited membantu orang lain. Saya mahu bergelar jururawat yang berdedikasi.