MEKAH – Jemaah perlu bersedia dari segi mental, senarai doa, perancangan ibadat dan ilmu pengetahuan bagi mengelakkan diri hilang arah ketika berada di Masyair sekali gus tersasar daripada memburu haji mabrur yang suci daripada dosa.
Ketua Pakar Rujuk, Ustazah Dr. Anisah Abdul Ghani berkata, Arafah bukanlah tempat untuk bersenang lenang seperti tidur, berehat, makan, duduk dan sebagainya tetapi ia dianggap sebagai mahsyar kecil tempat berkumpul semua makhluk di hari pembalasan.
Katanya, tidak sepatutnya seseorang itu melakukan perkara sia-sia seperti berbual perkara tak berfaedah, menghisap rokok, bergelak ketawa, bertengkar, mengumpat dan sebagainya yang mengundang kepada terlucutnya peluang mabrur.
“Bila kita meletakkan diri seolah-olah berada di hadapan Allah dan bukannya hendak bersenang-lenang, maka kita tidak akan merasa jemu untuk beribadat bermula daripada selepas zuhur hingga subuh pada hari Arafah.
“Berada di Arafah itu bertujuan untuk kusut masai semata-mata dalam kita berusaha mempersembahkan ibadat kepada Tuhan. Jika ada itu, maka baca al-Quran, berzikir, solat akan jadi ringan dan tak jemu untuk dilakukan berulang kali,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai artikel Kata Editor Kosmo! bertajuk ‘Jangan sampai ternganga di Arafah’ kelmarin yang membicarakan mengenai kemungkinan ada jemaah yang tidak tahu hendak buat apa kerana berada terlalu lama di Arafah hingga habis doa untuk dibaca.
Menurut Anisah, kekuatan mental dan fizikal memainkan peranan penting terutama di Mina yang diibaratkan seperti rahim ibu yang mengembang kerana ia boleh memuatkan seramai mana manusia yang datang ke situ.
“Mina ini sempit tak selesa, panas dan bilik air tak sempurna. Jadi kena didik mental supaya bersabar,” katanya.
Ujar Anisah, bagi jemaah yang melakukan ibadah korban, mereka boleh mengerat kuku dan merapikan misai serta janggut sebelum berihram dan berniat haji di miqat. – KOSMO! ONLINE