fbpx

Masa depan negara bukan ditentukan orang tua lapuk – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar melambaikan tangan kepada belia selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rakan Muda di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM hari ini.

KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda bahawa mereka yang akan menentukan masa depan negara.

Menurut beliau, masa depan Malaysia bukan ditentukan oleh orang tua yang memiliki pemikiran lapuk dan hendak memecahbelahkan rakyat.

“Ini pendekatan Malaysia Madani. Kita tidak mahu pemikiran lapuk yang lama, terkongkong dan jumud. Kita tidak mahu unsur yang memecahbelahkan. Kita adalah saudara baik keturunan Melayu, India, Cina, Dayak atau Kadazan.

“Siapa tentukan sama ada malaysia kekal sebagai negara hebat di dunia? Yang akan tentukan bukan orang tua yang lapuk pemikiran hendak pecah belah rakyat. Yang akan tentukan masa depan ini adalah anak muda yang bekerja untuk menyelamatkan bangsa serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rakan Muda di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Anwar berkata, Rakan Muda satu program untuk memberi ruang kepada anak-anak muda memilih, tetapi kerangka besarnya adalah persiapan suatu generasi senang dengan kebaikan, persaudaraan, kemajuan dan teknologi baharu.

Ujar beliau, golongan muda adalah mereka yang senang dengan muzik dan hip hop, tetapi benci kepada rasuah, hipokrasi dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, kata Anwar, bagi mendepani masalah anak muda bukan sekadar memberi nasihat atau teguran kerana golongan muda lemas dengan leteran.

“Dia (golongan muda) mahu kerajaan memberi ruang kepada dia. Program apa hendak diadakan? Nafas baharu apa hendak diperkenalkan? Biar anak muda sendiri putuskan dan kita bincang,” katanya.

Justeru, kata beliau, Kerajaan Perpaduan dengan falsafah Malaysia Madani akan memberi apa juga sokongan yang perlu kepada program Rakan Muda yang diberi nafas baharu tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI