SEBERANG PERAI – Lebih 90,000 Bakul Rahmah telah diagihkan kepada individu yang memerlukan dengan pengagihan yang dilaksanakan setiap lapan kali dalam tempoh sebulan.
Penasihat Yayasan Global Mesra, Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, jika tiada halangan, pengagihan bantuan itu dijangka berterusan untuk tempoh satu penggal iaitu selama lima tahun secara berturut-turut.
“Semua tempat dah ada (Bakul Rahmah) dan kami juga telah agih bantuan ini ke seluruh kawasan Parlimen buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan itu di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Turut hadir abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Idrus Ibrahim, 81, serta beberapa pemimpin PKR yang lain termasuk seramai 500 penerima sumbangan Bakul Rahmah khususnya yang tinggal di sekitar Bukit Mertajam.
Difahamkan, Bakul Rahmah yang setiap satunya dianggarkan bernilai RM100 itu mengandungi 13 barangan keperluan harian termasuk beras, susu, gula, biskut dan sebagainya.
Dalam pada itu, seorang penerima, Fazilah Hussin, 46, berkata, dia bersyukur kerana bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarganya terutamanya dalam membuat persiapan Aidiladha yang akan menjelang beberapa hari lagi.
“Alhamdulillah, dapatlah tampung sikit-sikit (perbelanjaan harian). Memang gembiralah. Terima kasih PM (Perdana Menteri) dan kerajaan kerana bagi bantuan ini. Memang PM seorang pemimpin yang sangat prihatin,” kata ibu tunggal itu yang merupakan anak kelahiran Cherok Tokun.
Seorang lagi penerima, Desa Md. Isa, 62, juga berterima kasih kepada kerajaan kerana terpilih untuk menerima sumbangan Bakul Rahmah itu.
“Syukur. Lepaslah habuan nak sambut raya nanti walaupun tak banyak. Alhamdulillah,” katanya yang masih bekerja di sebuah kilang di Machang Bubok untuk menampung kehidupannya ketika ini. – KOSMO! ONLINE