KOTA BHARU – Dua laluan utama di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang, dekat sini, yang ditutup untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C lebih dua bulan lalu dibuka semula untuk laluan kenderaan, petang tadi.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata, buat masa ini jalan tersebut hanya dibuka untuk kenderaan ringan.
Menurutnya, jalan tersebut kini akan dibuka secara kekal selepas kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan selesai dijalankan.
“Meskipun laluan itu telah dibuka, beberapa lencongan dilakukan di kawasan tersebut. Bagi kenderaan berat pula, pemandu terlibat perlu menggunakan laluan menerusi lencongan yang ditetapkan sebelum ini.
“Pembukaan jalan itu bukan hanya dibuka untuk musim perayaan Hari Raya Aidiladha, tetapi ia terus boleh dilalui selepas ini untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi pemberita, sebentar tadi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua laluan utama di Gua Musang ditutup sepenuhnya pada 3 April lalu untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek LTU Pakej 3B dan 3C.
Keadaan itu menyebabkan jalan menghala ke bandar Gua Musang bermula dari bulatan Tanah Putih ke simpang Kampung Pulai dan Jalan Kesedar Putra sesak dengan kenderaan pada keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE