LIVERPOOL – Peminat Liverpool harus berasa lega selepas pengurus kelab itu, Jurgen Klopp tidak berhasrat untuk memendekkan tempoh kontraknya dan menyatakan komitmen kekal di Anfield sehingga 2026.
Sekalipun namanya disebut sebagai calon pilihan untuk menggantikan Hansi Flick di skuad kebangsaan Jerman, namun ejennya, Marc Kosicke mendedahkan bahawa segala khabar angin yang timbul jauh daripada kebenaran.
“Jurgen memiliki kontrak jangka masa panjang dengan Liverpool dan skuad kebangsaan Jerman juga sudah ada jurulatih. Jadi, semua ini bukanlah satu isu kepada kami,” katanya.
Kedudukan Flick kini dalam bahaya selepas gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia dan prestasi semasa pasukan juga tidak begitu baik termasuk tewas 0-2 kepada Colombia pada aksi persahabatan, Rabu lalu.
Sementara itu, Klopp juga kekal dengan pendirian bahawa Liverpool perlu terus mendapatkan pemain baharu bagi memperkukuhkan pasukan selepas hilang beberapa pemain pada musim panas kali ini.
Selepas berjaya mendapatkan khidmat Alexis Mac Allister, The Reds pastinya tidak akan puas dan pelaburan perlu terus dilakukan bagi mengelak pasukan itu terus dilanda masalah prestasi seperti mana musim lalu. – AGENSI