BELURAN – Pasukan bomba terpaksa mengambil masa dua hari untuk mengusung keluar mayat lelaki seberat 110 kilogram susulan cuaca buruk dan keadaan laluan yang bercerun di dalam hutan, Borneo Timber Sungai Pinangah Beluran, di sini, semalam.
Mangsa warga indonesia berusia 24 tahun itu difahamkan melakukan aktiviti hiking dan mengkaji hutan namun mengalami sakit badan dan tidak mampu meneruskan perjalanan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi, kelmarin.
Katanya, seramai 8 anggota serta dua jentera keluaran BBP Beluran dan BBP Sook bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya 132 kilometer sebelum tiba pada pukul 6.20 petang.
“Didapati benar terdapat seorang mangsa yang terbaring di dalam khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri.
“Pasukan Bomba memulakan operasi dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’, tetapi ditangguhkan akibat cuaca hujan menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin serta keadaan yang gelap menyukarkan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi mengeluarkan mangsa yang ditangguh telah disambung dan dibantu oleh pasukan BBP Sook bermula pukul 5 pagi, semalam.
Sejurus itu, Edoen memaklumkan mangsa berjaya dikeluarkan daripada hutan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pasukan Bomba mengalami kesukaran semasa kerja-kerja mengeluarkan mangsa disebabkan oleh keadaan gelap pada hari pertama tiba dilokasi, laluan berbukit yang curam, faktor cuaca hujan dan keberatan mangsa lebih kurang 110kg.
“Tiaada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian menyebabkan maklumat sukar disalurkan.
Jelas Edoen, operasi ditamatkan pada pukul 11.20 malam semalam, bagaimanapun maklumat mengenai operasi itu hanya disalurkan pada pukul 12.30 tengah malam hari ini berikutan keadaan yang dihadapi. – KOSMO! ONLINE.