SUDAH begitu lama tidak melihat kelibat pelakon Datin Lisa Surihani baik dalam drama mahu layak perak. Sungguhpun begitu, Lisa menegaskan dia masih belum bersara daripada dunia seni.
Biarpun sibuk menjalani rutin harian sebagai ibu kepada Yahaira Leanne, 8, Yusof Leonne, 6, dan Yunos Laith, 2, Lisa masih terikat dengan pekerjaan dalam lingkungan dunia seni antaranya pengacaraan.
“Saya tidak pernah beri kata putus sama ada sudah bersara atau tidak kerana serahkan semua urusan rezeki kepada Allah.
“Buat masa ini memang ada tawaran lakonan tetapi ada yang masih tertunda dan ada yang masih dalam proses praproduksi sebab itu saya belum kembali ke set penggambaran lagi.
“Alhamdulillah, dalam waktu terdekat saya akan menjadi pengacara untuk sebuah program yang pengisiannya lebih kepada inovasi,” ujar isteri kepada pengarah dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim itu.
Ditebak soalan sama ada pernah terbit rasa rindu dihatinya apabila sudah begitu lama tidak berlakon, bintang filem Istanbul Aku Datang memberitahu, kini dia berada di fasa hidup yang berbeza.
Andai buat masa ini belum tiba masanya untuk kembali berlakon, Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed, 37, berlapang dada dengan rezeki dalam dunia seni.
“Saya sudah berada di peringkat hidup di mana saya lebih banyak bersangka baik atas setiap aturan kehidupan saya. Saya selalu fikir pasti ada sebab mengapa Allah tidak beri lagi rezeki itu (berlakon).
“Sekarang pun saya sudah cukup sibuk dengan anak-anak dan juga kerja-kerja kempen serta tugas duta pelbagai produk. Tetapi saya tetap ada masa buat diri sendiri seperti menghadiri kelas-kelas dan bersenam,” tutur Lisa.
Kongsinya lagi, perspektif hidupnya kini telah berubah secara total. Jika pada awal kemunculannya Lisa memburu pencapaian terbaik, namun kini lebih kepada kekal bertahan dalam industri seni.
“Pada usia sekarang kalau dalam kekal bertahan dalam industri hiburan pun sudah cukup baik. Saya bukan lagi mengejar segala kerja dan pencapaian seperti dahulu.
“Saya cuma ini memperbaiki diri menjadi individu, isteri, anak dan ibu yang lebih baik dalam segala aspek termasuk kerohanian,” tuturnya yang ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu sabun Daia iaitu Daia Hijab All Day Freshness di Putrajaya baru-baru ini.
Lisa yang dilantik menjadi duta produk tersebut bersyukur atas rezeki dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Nampaknya selepas berkahwin dan memiliki anak, saya banyak bekerjasama dengan produk ‘mak-mak’, sesuai dengan status dan imej saya sekarang ini.
“Namun, saya memang menilai pelbagai aspek sebelum bersetuju untuk menjadi duta. Apapun saya bersyukur walaupun semakin kurang aktif berlakon, rezeki untuk menjadi duta produk sentiasa ada,” kata Lisa menutup bicara.