PUTRAJAYA – Pembayaran tuntutan Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas dan pemeriksa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 31 Julai depan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, pembayaran itu melibatkan seramai 131,318 orang petugas peperiksaan dan 29,421 orang pemeriksa peperiksaan.
“Sehingga 23 Jun lalu, pembayaran IKH dan TNT telah selesai 100 peratus di sembilan buah negeri manakala IKH pemeriksa peperiksaan 98 peratus selesai.
“KPM komited memastikan pembayaran tuntutan petugas dan pemeriksa peperiksaan SPM 2022 diselesaikan segera,” katanya, di sini hari ini.
KPM turut mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan setiap petugas dan pemeriksa peperiksaan dalam memastikan SPM 2022 berjalan lancar. – KOSMO! ONLINE