SHAH ALAM – Dikhabarkan telah menyediakan sebuah banglo untuk isterinya Watie, pelawak Shuib Sepahtu tampil membuat penegasan bahawa kediaman yang bakal siap awal tahun depan itu adalah hadiah untuk ibunya, Salamiah Jalani.
Kata penyampai radio juga usahawan itu, isterinya sudah maklum berkenaan perancangan dibuat bagi membolehkan ingin insan kesayangan mereka menikmati hari tua dengan selesa.
“Macam mana pula boleh timbul dakwaan saya belikan isteri banglo? Saya memang ada beli sebuah kediaman, tetapi hadiah untuk ibu.
“Rumah yang sedang dalam pembinaan itu lokasinya di Johor, memang tempat asal ibu saya dan dijangka dapat disempurnakan pada Januari 2024.
“Watie pun sedia maklum hal ini, jadi cerita saya hadiahkan isteri sebuah banglo tidak betul,” kata pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu selepas majlis pernikahannya, malam semalam.
Kenyataan tersebut bagi menjawab
soalan media berhubung desas-desus dalam kalangan netizen yang mengatakan Shuib menyiapkan banglo buat sebagai hadiah perkahwinan.
Terdahulu, Shuib, selamat bergelar suami kepada Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35,
dengan sekali lafaz disaksikan 600 jemputan.
Pada majlis yang berlangsung di Putra Glass House, Putra Heights itu Shuib diiringi ibunya menuju meja pernikahan sebelum ijabkabul dimulakan.
Pada masa sama, Shuib turut menyatakan anak bongsunya, Ayash Affan, 2, masih dijaga ibunya di Johor yang juga atas permintaan wanita dihormatinya itu.
“Sebelum ini, ibu kata mahu jaga Ayash sampai pandai berjalan. Baru-baru ini, saya tanya lagi, dia kata tunggu sampai Ayash pandai bercakap pula.
“Tetapi, tidak mengapalah kerana ibu pun rajin turun ke Kuala Lumpur. Kadang kala sebulan tiga kali ibu akan berulang-alik ke rumah saya,” katanya.
Terbaharu, Shuib dan Watie kini sedang berbulan madu di Langkawi sebelum ‘terbang’ ke Turkiye, membawa keempat-empat anak. – KOSMO! ONLINE