MERSING – Biarpun kumpulan gajah liar yang muncul di Kampung Lubok Sawah di sini sejak 19 tahun lalu tidak mengganggu kediaman penduduk, tetapi haiwan itu menjejaskan pendapatan
mereka dengan memusnahkan tanaman sawit yang diusahakan.
Kelibat haiwan liar itu sering kelihatan di rumah penduduk walaupun pada waktu siang.
Seorang penduduk, Aminah Dollah, 56 berkata, kawasan rumahnya yang dikelilingi pokok sawit memang menjadi kunjungan haiwan berkenaan tidak kira waktu siang atau malam.
Katanya, meskipun setakat ini haiwan liar itu tidak pernah lagi mengganggu keselamatan dia dan keluarga, namun merosakkan banyak pokok kelapa sawit.
“Gajah-gajah ini dipercayai dari Rompin, Pahang dan berhijrah ke sini kerana habitat mereka telah diteroka.
“Saya sekeluarga kalau nampak gajah pada waktu siang memang sudah biasa, ia akan lari masuk ke dalam semak.
“Keliling rumah kami tanam sawit seluas 2.42 hektar. Kadang-kadang 30 pokok sawit dimunahkan gajah liar itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abd. Zaini Abd. Aziz, 55 pula berkata, dia yang sebelum ini mengusahakan tanaman sawit di tanah seluas 1.21 hentar berputus asa untuk meneruskannya akibat ladangnya yang sering diancam haiwan itu.
Katanya, dia kini mencari sumber ekonomi lain untuk menyara keluarga berbanding berharap pada hasil sawit.
“Pokok sawit lebih-lebih lagi yang sedang membesar memang kesukaan gajah. Saya memang risau hendak tebang sawit dan takut untuk tanam semula kerana bimbang dirosakkan gajah.
“Mahu masuk ke kebun sawit pun kami takut kerana bimbang keselamatan diri,” katanya.
Tambahnya, isu gajah liar itu berlaku sejak tahun 2004, namun ketika itu gajah masih dalam jumlah yang sedikit sekitar dua hingga tiga ekor, namun kini lebih 20 ekor berada di kawasan tersebut.