fbpx

Titan terkubur bersama Titanic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan kapal selam pelancongan Titan ditunda ke sebuah lokasi selaman di Everett, Washinton. -- AFP

BOSTON, Massachusetts – Semua lima penumpang kapal selam Titan yang hilang dekat bangkai Titanic meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan mereka mengalami apa yang disifatkan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘letupan dahsyat ke dalam’.

Pengumuman menyedihkan itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang menjadi tumpuan dunia sejak Titan hilang di Lautan Atlantik Utara empat hari lalu.

Laksamana Muda Pengawal Pantai AS, John Mauger memberitahu pemberita di Boston bahawa serpihan ditemui di dasar laut pada jarak cuma 500 meter dari bangkai Titanic adalah milik kapal selam pelancongan kecil tersebut.

“Bagi pihak Pengawal Pantai AS dan semua pasukan yang terlibat, saya mengucapkan seba­nyak-banyak takziah kepada keluarga mangsa,” kata Mauger.

Titan dinaiki oleh Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Stockton Rush, pesara Tentera Laut Perancis Paul-Henri Nargeolet, bilionair Britain Hamish Harding, ahli perniagaan Pakistan Shahzada Dawood dan anak lelakinya Suleman yang berusia 19 tahun.

Menurut Mauger, Pengawal Pantai tidak pasti bila dan kenapa kapal selam itu meletup serta enggan menjawab soalan sama ada mayat kesemua mangsa akan diselamatkan.

Titan yang memiliki panjang 6.5 meter hilang pada Ahad lalu ketika menyelam menuju ke lokasi bangkai Titanic pada kedalaman hampir 4 kilometer di dasar laut pada jarak 640 kilometer dari pantai wilayah Newfoundland, Kanada.

Syarikat pengendali Titan, OceanGate Expeditions mengenakan bayaran AS$250,000 (RM1.1 juta) untuk satu tempat duduk di dalam kapal selam itu. Dalam satu saman pada 2018, bekas pengarah operasi marin syarikat itu menyuarakan kebimbangan mengenai rekabentuk Titan yang bersifat ‘eksperimental dan tidak diuji’.

Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa waris mangsa tragedi Titan masih boleh menyaman OceanGate Expeditions walaupun kelima-lima penumpang tersebut dipercayai menandatangani surat penepian (waiver).

Seorang pemberita saluran televisyen CBS yang melakukan perjalanan bersama OceanGate Expeditions pada Julai 2022 melaporkan bahawa dokumen penepian yang dia tandatangani menyebut tentang kematian sebanyak tiga kali pada halaman pertama sahaja.

Penepian bagaimanapun bukan jaminan seratus peratus kerana beberapa hakim pernah menolak perjanjian sedemikian sekiranya terdapat bukti kecuaian dan bahaya yang tidak didedahkan sepenuhnya.

“Sekiranya terdapat aspek reka bentuk atau pembuatan kapal selam itu yang disembunyikan daripada penumpang atau ia masih beroperasi walaupun tidak sesuai untuk melakukan selaman tersebut, maklumat ini boleh digunakan untuk membatalkan penepian yang telah ditandatangani,” kata peguam cara dan pakar undang-undang maritim, Matthew D. Shaffer yang berpangkalan di Texas.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa kesemua waris mangsa tragedi Titan itu tidak akan menyaman OceanGate Expeditions. — AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI