KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah tampil membuat laporan berikutan tular poster pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, laporan dibuat wanita berusia 59 tahun itu pada pukul 5 petang.
Katanya, pengadu telah melihat poster yang memaparkan gambarnya beserta logo Felda dan ucapan tahniah di atas pelantikan pengadu sebagai pengerusi Felda.
“Poster berkenaan telah tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp. Kejadian disedari pengadu ketika berada di pejabatnya di Taman Perniagaan Desa, Jalan Kuchai Maju.
“Pengadu kemudian terpaksa menambah perkataan palsu di dalam poster tersebut dan kongsi di media sosial untuk penafian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, siasatan mendapati berita palsu berkenaan berasal dari laman sosial Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, Perak, Khalil Yahaya.
“Siasatan juga mendapati poster berkenaan adalah tidak benar dan pihak Felda juga menyatakan tiada sebarang pengumuman rasmi pelantikan pengerusi baharu setakat kelmarin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam untuk tidak membuat spekulasi berhubung poster itu dan kes masih dalam siasatan polis.
“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.