BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memastikan tempat ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin semalam.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Tian-mu Arena, University of Taipei itu, Tang Jie-Ee Wei menampilkan aksi cukup dominan apabila mencatat kemenangan 21-14, 21-19 dalam tempoh 34 minit.
Lebih manis, ia merupakan final ketiga buat beregu No.19 dunia itu musim ini selepas turut melakukannya ketika muncul juara pada Cabaran Antarabangsa (IC) Iran dan Orleans Masters.
Pada perlawanan itu, Tang Jie-Ee Wei bermula cukup baik selain tenang berdepan pemain lawan yang mendapat sokongan padu penonton di laman sendiri meskipun Hong Wei-Chia Hsin cuba mengejar di pertengahan set pertama.
Memasuki set kedua, beregu tuan rumah jauh ketinggalan 3-11, namun mereka secara tiba-tiba mendapat keyakinan dan mula mengejar mata demi mata sebelum merapatkan kedudukan 15-17.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei kembali mendapatkan ketenangan dan bermain seperti biasa, seterusnya memastikan tempat ke perlawanan akhir apabila menamatkan aksi set kedua dengan 21-19.
“Hari ini mereka (Tang Jie-Ee Wei) bermain sangat baik tetapi mungkin agak terburu-buru pada penghujung set kedua apabila bermain kurang tenang. Esok (hari ini) kita perlu terus fokus kerana lawan memiliki kelebihan bermain di laman sendiri,” kata jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.
Untuk rekod, ini adalah kemenangan ketiga Tang Jie-Ee Wei ke atas Hong Wei-Chia Hsin dalam tiga pertemuan selepas turut menewaskan beregu Taiwan itu ketika bertemu pada Orleans Masters dan Piala Sudirman.
Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Taiwan pastinya memberi keyakinan buat gandingan yang digelar ‘gangster duo’ itu dalam usaha mereka memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE