KUALA SELANGOR – Persimpangan Jalan Teluk Piah, di sini dianggap sebagai ‘simpang maut’ dalam kalangan penduduk ekoran banyak berlaku kes kemalangan jalan raya di situ.
Keadaan itu berlaku berikutan simpang empat yang dibina sejak puluhan tahun lalu itu tidak lurus dan selari sehingga mengundang risiko kemalangan terutama pada waktu puncak.
Seorang penduduk, Hamdan Abd Hamid, 52, berkata, simpang di jalan itu sememangnya mengelirukan pengguna jalan raya terutama bagi mereka yang pertama kali melaluinya.
“Simpang ini sibuk dan menjadi laluan utama dari semua arah termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.
“Saya juga terpaksa berhati-hati menunggang motosikal setiap kali melintas jalan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu semalam.
Turut meninjau lokasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli serta beberapa pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor.
Hamdan memberitahu, biarpun penghadang jalan diletakkan di laluan itu, ia tetap mengundang bahaya dan risiko keselamatan kepada pengguna.
Seorang lagi penduduk, Wan Mohd Salleh, 48, berkata, kekerapan kemalangan di kawasan itu terlalu tinggi dan dia sendiri pernah beberapa kali melihat kemalangan di depan matanya.
“Saya tinggal berdekatan laluan ini dan pernah menyaksikan sendiri kenderaan bertembung selain melihat mangsa kemalangan cedera parah dan meninggal dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Juwairiya berkata, isu berkenaan kerap dibangkitkan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri selain menerusi JKR.
Tambah beliau, aliran trafik lokaliti juga sesak apabila dianggarkan hingga 13,000 pengguna kenderaan setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga 70 peratus semasa musim perayaan.
“Sebanyak RM14.6 juta diperuntukan bagi projek menaik taraf jalan itu pada Rancangan Malaysia ke-12, namun setakat ini kita terima RM500,000 dan ia tidak cukup untuk kerja menaik taraf.
“Bagi pelan jangka pendek akan diusahakan pelebaran jalan tiga meter dan lima meter masing-masing bagi Jalan Rawang dan Jalan Teluk Piah Kanan,” ujarnya.