SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan bayangan akan kembali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Mohamed Azmin bagaimanapun menegaskan beliau sedang menunggu arahan daripada parti.
“Ya, saya sudah umumkan bahawa saya ingin mengambil cuti rehat sementara tetapi oleh kerana situasi semasa itu menuntut kita bekerja sebagai satu pasukan dan melonjakan sokongan.
“Sebagai orang parti, saya akan patuh dan taat kepada arahan parti. Kalau saudara (pemberita) boleh telefon Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin), terpulanglah,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin tidak berhasrat untuk bertanding pada PRN akan datang bagi memberikan peluang kepada generasi muda.
Ketika ditanya mengenai calon telah dimuktamadkan, Mohamed Azmin memberitahu saringan sedang dilakukan dalam semua parti dan dijangka selesai pada masa terdekat.
“Kerusi dan calon pun kita selesai awal. Malahan, sebahagian besar telah pun selesai cuma perlukan beberapa nama besar untuk melonjakkan sokongan kepada PN. Itu sahaja.
“Cuma soal calon itu akan diputuskan kepimpinan tertinggi. Bayang-bayangan (calon) itu sudah ada sebab penerimaan rakyat dari segi kelayakan dan ketokohan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gabungan calon itu termasuk muka baharu dengan memenangi lebih 29 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri. -KOSMO! ONLINE.