fbpx

Real sedia RM1.3 bilion buru Mbappe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE enggan menyambung kontraknya bersama PSG menyebabkan peluang Real mendapatkan khidmatnya semakin cerah. - AFP

MADRID – Saga perpindahan melibatkan penyerang antarabangsa Perancis, Kylian Mbappe semakin hangat selepas kelab gergasi La Liga, Real Madrid bersedia untuk membuat bidaan terakhir sebanyak €250 juta (RM1.3 bilion) dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, Mbappe yang mewakili kelab Paris Saint-Germain (PSG) telah memaklumkan kepada majikannya mengenai hasrat untuk tidak melanjutkan kontrak bersama pasukan yang berakhir pada penghujung musim depan.

Situasi tersebut membuatkan pengurusan PSG agak panik sama ada mahu mengekalkan khidmat Mbappe dalam tempoh semusim lagi sebelum kehilangan khidmatnya secara percuma atau melepaskannya pada jendela perpindahan kali ini.

Los Blancos dilaporkan berusaha untuk mengikat Mbappe dan mengisi kekosongan ditinggalkan Karim Benzema yang kini menyertai Al-Ittihad di Arab Saudi.

Walaupun Real baru sahaja mendapatkan Joselu, 33, secara pinjaman daripada Espanyol tetapi dia dilihat lebih berperanan sebagai pemain sokongan kepada penyerang utama.

Justeru, presiden kelab, Florentino Perez difahamkan sudah meluluskan dana untuk membida Mbappe dengan nilai asas sebanyak €200 juta (RM1 bilion) dan tambahan €50 juta(RM280 juta) bergantung dengan prestasi sepanjang tempoh kontraknya.

Situasi tersebut sekali gus menyaksikan Mbappe bakal menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak dunia dengan memecahkan rekod yang dilakukan oleh PSG pada 2017 yang menandatangani Neymar dengan nilai €222 juta (RM1.1 bilion) dari kelab Barcelona.

Real dilihat telah berbelanja mewah pada jendela perpindahan kali ini apabila turut ‘pecah tabung’ untuk mendapatkan pemain tengah England, Jude Bellingham dari kelab Borussia Dortmund dengan perpindahan sebanyak €133 juta (RM680 juta) minggu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN