SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya tidak akan melayan atau memberikan apa-apa reaksi terhadap sebarang kenyataan “berbeza” daripada mana-mana pihak dalam komponen Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya sebarang reaksi balas diberikan ia menampakkan seolah-olah menjadi satu masalah utama sedangkan bukanlah pendirian yang telah ditetapkan oleh kepemimpinan parti terbabit.
“Saya mahu berikan pandangan, mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang mempunyai pendapat berbeza, kami tidak akan layan, kerana itu bukan pendapat rasmi daripada kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya telah beritahu, jangan ada reaksi balas dan sebagainya daripada pihak kami kerana yang penting , jika isu yang ditimbulkan jika kita beri reaksi akan menampakkan seolah-olah masalah itu besar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Presiden UMNO Bersama Jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan hari ini. -KOSMO! ONLINE.