LONDON – Satu kaji selidik yang dijalankan mendapati hampir dua per tiga daripada responden yang merupakan peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan berkenaan.
Hasil tinjauan berkenaan yang disiarkan pada Rabu lalu mendapati 63.3 peratus (%) membantah penggunaan teknologi berkenaan, manakala 79.1% lagi menganggap pengalaman mereka dengan VAR sangat buruk.
Dapatan berkenaan cukup berbeza berbanding kajian yang dilakukan oleh Persatuan Peminat Bola Sepak (FSA) pada 2017 yang mendapati 74.6% peminat ketika itu bersetuju dengan pengenalan VAR yang mampu membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.
Kajian terbaharu mengenai tahap kepuasan hati para peminat terhadap VAR dijalankan Pusat Kaji Selidik Peminat Kebangsaan yang dipantau oleh FSA melibatkan 9,645 peminat dilakukan pada Mac dan April lalu.
Hampir 92% responden bersetuju VAR mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan dan 80% daripadanya mendesak agar mereka diberikan kebenaran mendengar perbualan antara pegawai VAR dan pengadil perlawanan.
Sementara itu, hanya 26.8% yang bersetuju penggunaan teknologi berkenaan benar-benar memberikan kebaikan untuk bola sepak dan 5.5% daripada mereka mengakui pengalaman bersama VAR adalah sangat baik.
Pada enam perlawanan awal musim lalu, audio perbualan antara pegawai VAR dan pengadil didedahkan kepada umum ketika perlawanan sebelum keputusan berkenaan ditarik balik.
Ketua Pengadil EPL, Howard Webb pada Mei lalu mengakui bahawa perkara berkenaan tidak dapat diteruskan kerana ia tertakluk kepada undang-undang perlawanan semasa, sementara kelewatan keputusan dibuat kerana mengambil kira beberapa perkara faktor dan kesukaran. – AGENSI