PELUMBA UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia Team, Nazirul Izzat Bahauddin melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) selepas menampilkan aksi cukup baik pada perlumbaan Underbone 150cc (UB150) di Litar Antarabangsa The Sportsland Sugo, Jepun semalam.
Pada perlumbaan pusingan ketiga tersebut, Nazirul yang memulakan perlumbaan di petak kedua memperagakan aksi cukup baik meskipun pada awal saingan ditentang hebat pelumba Indonesia, Murobbil Vittoni dari pasukan LFN H.PUTRA 969 INDONESIA Racing Team.
Tiga pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Hafiza Rofa, Shafiq Rasol dan Ahmad Fazli Sham pada mulanya menguasai saingan itu, namun kedudukan terus berubah pada penghujung perlumbaan.
Nazirul menjuarai perlumbaan manakala Wahyu Aji Trilaksana dari pasukan RACETECH SIXTY Racing memastikan tempat kedua menjadi miliknya selepas memintas Murobbil di garisan penamat.
“Pertama sekali syukur Alhamdulilah kerana Allah memberi rezeki. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang bekerja keras sepanjang minggu ini. Terima kasih juga kepada mak saya yang sentiasa memberi sokongan.
“Pada perlumbaan sebentar tadi agak sengit terutama di kedudukan pertama hingga ke-10. Saya hanya fokus pada perlumbaan dan terus ke hadapan untuk fikir macam mana mahu atur strategi. Mungkin ini rezeki saya untuk menjuarai perlumbaan ini,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Dalam perlumbaan SuperSports 600cc, saingan ternyata berbeza selepas saingan itu terpaksa ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat melanda di Litar Sugo. Meskipun perlumbaan dimulakan semula pada baki lima pusingan, namun ia menjejaskan rentak pelumba Jepun, Keito Abe (ONEXOX TKKR Racing Team) untuk melakar kemenangan di laman sendiri.
Tempat kedua menjadi milik Soichiro Minamimoto (YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN) dan diikuti Nakarin Atiratphuvapat dari Honda Racing Thailand mengesahkan tempat ke podium selepas memintas pelumba Malaysia, Muhammad Helmi Azman dari Boon Siew Honda Racing Team di penghujung perlumbaan.
Hasil keputusan tersebut, Khairul Idham Pawi yang sekadar menamatkan saingan tempat ke-13 perlumbaan tersebut masih kekal tangga teratas carta kedudukan SS600 dengan mengumpul 93 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan Atiratphuvapat. – KOSMO! ONLINE