PADAWAN – Mayat lelaki yang sudah dalam keadaan reput ditemukan dalam sebuah banglo terbiar di Jalan Burung Bunga Api, Batu 3 1/2 Jalan Perinssen di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 7.10 pagi semalam.
“Pemeriksaan yang dijalankan menjumpai mayat berkenaan di tangga naik ke tingkat atas banglo berkenaan. Mangsa dipercayai mati lebih sebulan yang lalu berdasarkan kepada keadaan mayat yang sudah reput (mengecut),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Abang Zainal berkata, tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat mangsa yang memakai kemeja berkolar dan berseluar pendek.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tatu di tangan serta banyak kesan darah ditemui di dalam tandas dan dipercayai daripada badan mangsa.
“Mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”ujarnya.
Tambah beliau, banglo dua tingkat itu dipercayai telah kosong hampir tiga tahun serta dipenuhi dengan semak samun dan pernah disewa oleh peniaga menjual barang lusuh.-KOSMO! ONLINE