fbpx

Lebuh raya tinggi perlu penghadang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kemalangan maut di SUKE yang mengorbankan penunggang motosikal Ducati sehingga tercampak ke bawah baru-baru ini.

PETALING JAYA – Konsesi le­buh raya perlu mereka bentuk penghadang jalan yang bersesuaian di laluan bertingkat atau berke­tinggian lebih 5 meter dan ke atas bagi mengelakkan kemalangan yang lebih teruk.

Misalnya apabila berlaku kemalangan, mangsa tidak akan terpelanting ke bawah dengan ketinggian yang boleh membawa maut.

Pensyarah Jabatan Kejurutera­an Awam Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Fauzan Mohd. Jakarni berkata, semua lebuh raya atau jalan yang tinggi perlu ada penghadang khas di lokasi risiko kemalangan.

“Untuk lebuh raya bertingkat, biasanya parapet wall bridge akan dipasang di sepanjang laluan sebagai penghadang jalan.

“Ketinggian lebih kurang dalam 1.45 meter bergantung kepada spesikasi pembinaan yang dirujuk,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo!

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas ter­babas dan terjatuh dari jejambat Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Ke­lang (SUKE) apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Gambar fail Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang yang mula dibuka pada September tahun lalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Kejadian kira-kira pukul 1 te­ngah hari itu, menyebabkan mang­sa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter.

Sementara itu, motosikal yang ditunggang mangsa telah terseret ke tengah jalan dan mayat mang­sa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. Sungai Klang.

Mengulas lanjut, Dr. Fauzan berkata, perkara tersebut boleh dinaik taraf hanya pada lokasi dianggap agak berbahaya dan risiko kemalangan yang tinggi.

“Sebagai contoh, selekoh atau tempat yang mempunyai jarak penglihatan yang terhad.

“Penghadang khas boleh dipertimbangkan sebagai perlindungan tambahan bagi menghalang kenderaan atau individu daripada tercampak jatuh ke bawah,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemasa­ngan penghadang jalan jenis reka bentuk roller barrier, Fauzan memaklumkan rekaan itu adalah untuk mengurangkan impak pelanggaran dengan menyerap hentakan.

“Pada masa yang sama akan mengubah arah kenderaan yang berlanggar sehingga kelajuannya berkurang. Biasanya untuk lokasi yang mempunyai hala laju yang tinggi.

“Untuk membantu meng­halang kenderaan daripada tercampak dilihat kurang membantu kerana ketinggian adalah sama atau kurang daripada parapet wall bridge,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, jika direka bentuk dengan lebih tinggi atau bentuk khas berkemungkinan boleh, tetapi kos juga akan lebih tinggi untuk konsesi sediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI