ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan RM36.34 juta untuk 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam di kawasan masing-masing.
Menurut Menterinya, Nga Kor Ming, peruntukan tersebut yang melibatkan 95 projek itu adalah usaha Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti fasiliti awam di Kedah.
“Kesemua projek ini wajib bermula dengan kadar segera jika boleh siap tahun ini. Ia adalah projek infrastruktur di mana kita berikan keutamaan kepada projek berimpak tinggi yang dekat di hati rakyat.
“Projek itu seperti menaik taraf pasar awam, baik pulih tandas yang kotor, buat jalan yang rosak dan pasangkan lampu solar. Kesemua ini kita akan lihat bagi impak kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan Pasar Teluk Wanjah di sini hari ini.
Tambah beliau, 95 projek berkenaan antaranya melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di Pasar Teluk Wanjah dengan peruntukan RM450,000.
Selain itu katanya, KPKT turut meluluskan peruntukan menaik taraf Dewan Datuk Syed Omar di sini dengan peruntukan RM350,466.-KOSMO! ONLINE