SEBERANG PERAI – Kampung Baru Berapit di Bukit Mertajam di sini berada dalam senarai tujuh buah Kampung Baru di seluruh negara yang bakal diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, enam lagi kampung yang terpilih terletak di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Perak, Melaka dan Johor.
Beliau berkata, ketika ini juga, pelbagai langkah berkaitan telah diambil termasuk memulakan kerja-kerja menaik taraf sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan ketujuh-tujuh Kampung Baru itu Tapak Warisan Dunia tidak lama lagi.
“Sekiranya semua (perancangan) berjalan lancar maka, saya berdoa menjelang 2026 nanti, kita akan tambah satu lagi Tapak Warisan Dunia selepas George Town (di Pulau Pinang) dan Melaka iaitu Kampung Baru,” katanya selepas sesi lawatan kerja ke Kampung Baru Berapit, di sini.
Ketika ini, terdapat 613 buah Kampung Baru di seluruh negara dan 14 daripada kampung tersebut terletak di Pulau Pinang.-KOSMO! ONLINE