PETALING JAYA – Seorang lelaki bersyukur kerana memilih untuk berhijrah dari Kuala Lumpur ke Perlis untuk kehidupan lebih aman, damai dan tenteram.
Menurut Abdullah Izzat di laman Twitternya, duduk di luar bandar lebih tenang kerana tiada tol, jalan lapang dan barang pula boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.
“Kalau saya melawat ibu bapa di Kuala Lumpur, rasa stres sangat. Dengan jalan ‘jem’ (sesak) lagi. Betul cakap orang, lain orang lain jiwanya.
“Bukan semua orang sukakan tempat yang membangun. Kalau boleh, saya harap Perlis akan kekal begini sampai bila-bila. Aman dan damai,” katanya.
Kini, hantaran tersebut telah mendapat 1,879 tanda suka dan 573 ulang ciap.
Meninjau ke ruangan komen, rata-ratanya bersetuju dengan pendapat Abdullah.
“Betul, di luar bandar, contohnya Perlis, tidak ada tol. Enam tahun saya belajar di sana dulu, rasa tenang sangat. Kolej kediaman pun tepi sawah padi di Kangar,” kata seorang pengguna.
“Rasa tenang itu sesuatu yang mahal. Bulan lepas, saya sempat melawat Perlis. Rasa tenang sangat. Tak ada ‘jem’ dan makanan pun sedap-sedap,” kata Wiley.
“Perlis adalah antara lokasi terbaik untuk hidup selepas bersara,” kata seorang lagi pengguna lain. – KOSMO! ONLINE