PETALING JAYA – Seorang wanita menuduh anaknya derhaka kerana tidak lagi memberikan wang belanja bulanan selepas dia menerima wang pencen.
Wanita tersebut menjelaskan, anak sulungnya enggan beri wang belanja bulanan kerana terbeban dengan hutang sedia ada.
“Baru-baru ini, saya terima duit pencen dalam RM400,000. Tetapi, selepas beberapa bulan, anak lelaki sulung saya berhenti beri duit belanja bulanan kepada saya. Katanya, sebab saya sudah terima duit pencen,” katanya.
Tambah wanita tersebut, dia masih mempunyai suami, namun suaminya itu memerlukan wang belanja sendiri untuk meneruskan kehidupan.
“Disebabkan hal ini, saya rasa sakit hati dengan anak sendiri. Saya marah dia dan cakap dia tak akan bau syurga sebab derhaka kepada ibu sendiri.
“Anak-anak lain masih beri belanja bulanan kepada saya kecuali anak sulung. Entah kenapa dia berubah hati,” katanya.
Wanita tersebut juga mengadu telah disekat anak sulung dan kini tidak boleh menghubunginya lagi.
“Saya rasa, isteri anak saya yang menghasut. Saya daripada dulu tak berkenan anak saya berkahwin dengan janda anak satu. Akhirnya mesti jadi beban,” cerita wanita itu lagi.
Hantaran yang dimuat naik di satu laman Facebook itu telah mendapat hampir 350 komen dan 400 tanda suka.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang memberi nasihat buat wanita berkenaan agar lebih bersyukur dan tidak bersikap tamak.
“Anak yang mempunyai isteri tidak wajib beri duit kepada ibu bapa kerana nafkah untuk isteri dan anak-anak lebih utama.
“Lagipun, mak ada duit pencen sendiri dan suami pula masih hidup untuk memberikan nafkah untuk isteri. Kalau anak bagi duit lebih, itu kira bersyukur sangat,” kata Robaniyah. – KOSMO! ONLINE