SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mempunyai kurang 60 peratus pengundi Melayu.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, ini berdasarkan gelombang PN yang melanda di seluruh negara ketika ini.
Justeru katanya, strategi yang betul harus direncanakan dengan semangat perpaduan dan kerjasama dalam menarik pengundi kepada PN.
“Memang kita sasarkan beberapa kerusi boleh dapat kemenangan yang peratusannya pengundi Melayu lebih 60 peratus.
“Dengan gelombang PN berlaku di negara ketika ini, kita (PN) mampu menang di kerusi-kerusi Melayu yang kurang 60 peratus,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan PN akan bertanding di 56 kerusi DUN Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kita akan menang sebagai PN dan membina kerajaan sebagai PN. Ini adalah tekad kita. Kalau ini semangat kita tunjukkan, InsyaAllah menang PN di Selangor, landskap politik kerajaan Pusat akan berubah.
“Saya kira kerusi-kerusi politik dan kerajaan di negeri-negeri juga akan berubah, katanya.-KOSMO!ONLINE