PERUBAHAN sedang dilakukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyaksikan dimensi olahraga tanah air bakal ‘berwajah’ baharu dengan kehadiran tajaan daripada sektor-sektor korporat bagi mengembalikan zaman kegemilangan negara.
Biarpun kini terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk isu doping dan peletakan jawatan ketua jurulatih, Zaki Sadri tetapi ia dilihat antara sebahagian kesan daripada perubahan yang sedang direncanakan oleh barisan kepimpinan tertinggi KOM.
Antara perkara utama dititikberatkan adalah kebajikan jurulatih dan atlet selain membawa masuk banyak penajaan agar KOM tidak lagi perlu bergantung kepada dana Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.
Selain itu, seorang pengarah teknikal dari luar negara juga akan diumumkan pada Isnin ini bagi menggantikan tempat ketua jurulatih yang didakwa kurang berkesan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/06/MARK-WILLIAM-LING.jpg)
Naib Presiden KOM, Datuk Mark William Ling mendedahkan, KOM kini berusaha gigih memberikan segala-galanya kepada barisan atlet dan jurulatih agar mereka dapat menampilkan prestasi terbaik dalam setiap kejohanan disertai.
“Kontrak jurulatih perlu mempunyai akauntabiliti dan tanggungjawab di bawah KOM supaya ada sistem ganjaran buat mereka. Jika MSN tak cukup bajet, kita ‘top up’ kerana tak boleh cakap MSN tiada duit, KOM sendiri perlu mengambil tanggungjawab.
“Mereka juga akan mendapat set uniform baharu supaya kelihatan segak dan bergaya (di lapangan terbang dan kejohanan). Apabila anda berpakaian berjuta dolar, anda akan berikan prestasi seperti berjuta dolar.
“Sekarang kami akan memulakannya (proses) tetapi saya perlukan percikan api yang menyala selamanya dan saya tidak mahu ia hanya terpercik dalam kuali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/06/jonathan-nyepa.jpg)
Dalam masa sama, Mark yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, percaya barisan atlet dan jurulatih akan membalas 10 kali lebih bagus demi menempa kejayaan buat negara sekiranya kebajikan mereka dijaga dengan baik.
“Ada sesetengah jurulatih tidak gembira dengan cara saya sekarang kerana mereka berasa terancam. Saya tidak boleh beri alasan kerana negara ini berhak meraih yang lebih baik.
“Saya perlu berikan mereka 100 peratus jika saya menjangkakan keputusan terbaik. Sekarang saya mahu berikan segala ‘alatan’, kejohanan dan kejurulatihan supaya mereka dapat lakukan yang terbaik,” jelasnya.