WARNA vintage, corak floral, dan tekstil linear merupakan antara elemen penting bagi dekorasi bercirikan Inggeris klasik.
Gabungan perabot antik, sofa, permaidani, lampu meja, lorek fabrik dan hiasan bunga segar menyerlahkan lagi nostalgia abad ke-20.
Begitulah perasaan pengunjung saat menjejakkan kaki ke Ye Olde Smokehouse di Bukit Fraser, Pahang.
Dekorasi tersebut sesuai dengan sejarah bangunan itu yang pernah digunakan bekas anggota tentera Inggeris yang terlibat dalam perang di negara ini pada 1914 hingga 1948.
Kini, bangunan putih yang dikelilingi taman bunga dengan keluasan keseluruhan sekitar 0.9 hektar itu telah dijadikan hotel dan restoran.
Pengurus Ye Olde Smokehouse, Amjed Hafiz, 63, berkata, hiasan dalaman rumah agam berusia 99 tahun itu masih sama seperti asal.
Ujarnya, inspirasi mengekalkan dekorasi rumah agam itu adalah untuk memberikan pengalaman kepada masyarakat kini.
Terangnya, penduduk tempatan boleh melihat dan merasai pengalaman gaya hidup orang Inggeris di Malaysia pada suatu ketika dahulu.
“Tempat ini berubah menjadi rumah penginapan secara komersial pada 1937 setelah Inggeris memberikannya kepada Malaya.
“Kesemua perabot dalam rumah agam ini masih lagi menggunakan rangka perabot asal dari tahun 1924.
“Ini bagi mengekalkan ciri autentik tempat ini,” katanya.
Lebih menarik, seni dan barang antik yang menghiasi segenap sudut rumah tersebut adalah barangan asli dari Eropah.
Di ruang tamu, masih terdapat tempat pendiang (fireplace) yang sinonim dengan rumah-rumah di negara Barat.
Rumah agam itu memiliki 14 buah bilik yang kini dijadikan sebagai bilik inap dengan pelbagai kategori berbeza buat pengunjung.
Terdapat beberapa bilik menggunakan katil four posted yang merupakan katil tradisional bagi orang Inggeris.
Katil four posted tersebut pada asalnya digunakan oleh masyarakat di Barat sebagai cara untuk melindungi diri daripada cuaca sejuk terutama pada musim dingin.
Tambah Amjed, bagi memastikan perabot dalam kediaman tersebut selesa dipakai, pihaknya melakukan proses upholsteri.
“Dari semasa ke semasa, kami melakukan proses upholsteri pada perabot ini.
“Perabot ini telah dipasang dengan padding, spring, webbing dan sarung kain atau kulit.
“Dengan melakukan upholsteri, kami boleh mengekalkan aspek sentimental perabot ini, walaupun fabrik luaran telah ditukar,” jelasnya.