SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya untuk tidak sesekali mempertahankan perasuah sama ada berada dalam parti di bawah Kerajaan Perpaduan mahupun sebaliknya.
Malah, beliau menegaskan menjadi tugas besar untuk semua pihak termasuklah golongan mahasiswa untuk membersihkan imej negara sebagai negara yang terkenal dengan rasuah di mata dunia.
“Saya tak perlu (rasuah) parti dalam kerajaan, luar kerajaan, rundingan, ambil komisyen, tolong hentikan, saya tidak akan pertahankan. Kamu curi, bawa peguam, hakim, masuk penjara. Bila saya jumpa pelabur asing mereka kata negara kamu korap.
“Kita kena kerja kuat tukar peta politik negara kita. Jangan hina, jangan fitnah,” katanya ketika berucap dalam Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar mahu institusi pengajian tinggi menjadi gedung cemerlang dan seharusnya generasi muda harus bertindak lebih baik dari apa yang diwarisi. -KOSMO! ONLINE.