fbpx

Undang penceramah bertauliah sahaja ke masjid, surau – Sultan Mizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Mizan (kiri) bersalaman dengan kariah Masjid Kampung Pelandan, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan jawatankuasa masjid negeri ini perlu cakna memastikan hanya individu mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
diundang menyampaikan ceramah dan kuliah agama.

Baginda bertitah, peraturan dibuat bukan untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau di Terengganu.

Sebaliknya, Sultan Mizan bertitah ia bagi memastikan setiap ilmu disampaikan bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam.

“Beta amat mengharapkan setiap program dilaksanakan selari dengan setiap arahan serta peraturan dikeluarkan Maidam dan undang – undang berkaitan dengan tauliah mengajar.

“Masjid memainkan peranan sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun ummah serta pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan akidah,” titah baginda sewaktu berkenan merasmikan Masjid Kampung Pelandan di sini hari ini.

Terdahulu Sultan Mizan menunaikan solat Jumaat di masjid terbabit dengan diiringi dua anakanda lelaki baginda termasuk Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan bertitah agar pengurusan masjid perlulah mempunyai minda terbuka dan berfikiran kreatif merangka serta melaksanakan pelbagai program bagi melahirkan ummah yang cemerlang.

Titah baginda, kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatan kuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah agar usaha mengoptimumkan fungsi masjid dapat direalisasikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI