PENDANG – UMNO Kedah menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya ‘manis mulut’ apabila meminta agar parti bertanding secara anak jantan tanpa menggunakan dana kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Muhammad Sanusi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang ekstrem semata-mata untuk meraih perhatian rakyat.
“Kalaulah jadi kerajaan hang cerita lah kut mana pun kan, yang itu dia panggil ‘lip decoration’ atau hiasan bibir sajalah, satu dunia tahu kalau sudah jadi kerajaan itu, kut mana hang tak guna, guna jugalah.
“(Contohnya) sekarang kita nak pergi program parti kita pakat naik Myvi tak ada lagu itu kan? Jadi saya ingat kita tak payah cerita pasal yang terlalu terlalu nak pengasing-pengasing kerajaan inilah. Kita masuk pilihan raya, kita kerajaan federal kamu kerajaan negeri, kita profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di Pejabat UMNO Pendang di sini, hari ini.
Beliau mengulas tentang kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah baru-baru ini bahawa setiap parti yang bertanding pada PRN perlu berkempen atas kekuatan dan kapasiti parti masing-masing tanpa menggunakan sebarang dana dan harta milik kerajaan.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sikap mengadu domba atau mengeluarkan momokan yang berlebihan itu juga tidak relevan dalam politik memandangkan rakyat sudah bijak membuat penilaian. – KOSMO! ONLINE