PETALING JAYA – Selebriti dari Singapura, Roslan Shah mengakui dirinya sedikit kecewa dengan sikap pengurusan seorang pendakwah terkenal Malaysia yang tidak memaklumkan tentang kehadiran beliau di satu karnival di negara jiran itu yang bermula hari ini.
Jelasnya, dia tahu tentang ketidakhadiran pendakwah terkenal itu selepas dimaklumkan oleh penganjur kernival yang melihat pendakwah tersebut dan isteri memuatnaik gambar mereka yang berada di Mekah ketika ini.
“Saya terkejut, sebab saya dihubungi oleh pengurusnya sebelum ini yang menyatakan minat untuk menyertai karnival tersebut. Saya telah memaklumkan kepada penganjur dan penganjur telah sediakan tapak perniagaan serta menempah hotel kepada mereka.
“Saya kecewa dengan keadaan ini, tidak tahu silap siapa? Pengurus atau dia sendiri. Tidak mungkin pergi Mekah mengejut macam ni, setahu saya mesti ada tempoh untuk sediakan visa,” jelas Roslan Shah kepada Kosmo! hari ini.
Tambah pengacara itu lagi, tiada perjanjian sah atau hitam putih antara beliau dengan pengurus pendakwah itu disebabkan kepercayaan dan kejujuran yang mereka ‘tonjol’ selama ini.
“Ya, saya akui tiada perjanjian hitam putih. Tapi saya kecewa dengan kepercayaan yang saya beri sehingga saya terpalit dalam hal ini, saya risau orang dah tak percaya saya.
“Saya percaya atas dasar kita sama-sama Islam, dengan apa yang ditunjuk selama ini berbeza dengan apa yang dilakukan. Jujur saya tidak akan bayar ganti rugi kepada penganjur,” katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial berkenaan seorang pendakwah terkenal telah menjadi punca pihak penganjur sebuah acara jualan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana ketidakhadiran beliau.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Roslan Shah di mana pendakwah tersebut sebelum ini didakwa bersetuju untuk hadir ke acara tersebut yang diadakan di Singapura bermula esok.
Bagaimanapun, pihak pengurusan terkejut melihat pendakwah terbabit kini berada di tanah suci Mekah dan mendakwa tidak dimaklumkan. – KOSMO! ONLINE