TUMPAT – Seorang remaja perempuan sanggup membuang anaknya di bawah pokok mangga di belakang rumah selepas melahirkan bayi tersebut seorang diri di dalam rumah keluarganya di Kampung Geting di sini awal pagi tadi.
Remaja berusia 18 tahun itu pada awalnya berpura-pura tidak mengetahui kejadian tersebut apabila memaklumkan kepada ibunya bahawa dia menjumpai bayi perempuan tertiarap di atas tanah di belakang rumah.
Ibu remaja terbabit yang dikenali dengan panggilan Lina, 37, berkata, dia tiada di rumah pagi tadi apabila keluar bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis nasi berlauk tidak jauh dari rumahnya.
Menurutnya, dia dihubungi oleh anak perempuannya itu yang kononnya menemui seorang bayi menangis di belakang rumah kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Saya terus menghubungi suami sebelum bergegas pulang ke rumah dan mendapati anak saya berada dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika itu, saya melihat seorang bayi yang sudah putus tali pusatnya berada dalam keadaan kebiruan sedang dipangku oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Lina memberitahu, dia mengesyaki anaknya yang melahirkan bayi itu, namun remaja terbabit pada awalnya tidak mengaku.
Katanya, selepas didesak dengan pelbagai soalan, anaknya itu akhirnya mengaku dia yang melahirkan bayi tersebut sebelum menunjukkan lokasi uri yang ditanam di belakang rumahnya.
“Apabila masuk ke dalam biliknya, saya dapati ada kesan darah pada tilam yang sudah dibasuh, manakala kain yang digunakan untuk melahirkan bayi sudah direndam di dalam besen.
“Saya tidak mengesyaki dia mengandung kerana fizikalnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sejak tinggal bersama saya pada April lalu. Difahamkan, anak saya mempunyai teman lelaki malah saya pernah menyuruhnya berkahwin, tetapi dia enggan,” katanya.
Menurut Lina, dia juga hairan apabila anaknya itu bangun tidur awal kira-kira pukul 1 pagi tadi dan mengadu lapar sebelum dia memasak makanan kepada remaja itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima panggilan telefon yang memaklumkan berhubung penemuan bayi itu.
Katanya, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi penemuan bayi itu untuk menjalankan siasatan. – KOSMO! ONLINE