fbpx

Ranking Azizulhasni melonjak tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI dapat suntikan semangat untuk mengharungi dua lagi kejohanan penting iaitu Sukan Asia Hangzhou, China dan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland selepas ranking dirinya melonjak.

Pemburuan jaguh berbasikal No. 1 negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk slot ke Sukan ­Olimpik Paris 2024 semakin ce­rah selepas kedudukannya dalam acara keirin dan pecut bertambah kukuh sejurus menoktahkan kemenangan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai hujung minggu lalu.

Berdasarkan kemas kini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), pelumba berusia 35 tahun itu kini berada di kedudukan ketiga dalam acara keirin sekali gus lonjak tujuh anak tangga. Dalam acara pecut individu pula, dia berada di tempat keenam, melonjak 13 anak tangga.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap Azizulhasni dapat mengekalkan ‘kayuhan emas’ pada Sukan Asia Hangzhou, China yang membuka tirai pada 23 September depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab percaya Azizulhasni kini berada dalam prestasi terbaik selepas meraih dua pingat emas menerusi acara keirin dan pecut individu elit pada ACC 2023.

“Ini membuktikan Azizulhasni sudah cukup bersedia dan fokus untuk mengharungi dua lagi tugasan penting iaitu Sukan Asia Hangzhou dan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos depan.

“Saya berharap Azizulhasni dapat mengulangi kejayaannya pada Sukan Asia nanti memandangkan beliau dijangka sekali lagi bersaing dengan pelumba-pelumba yang bertanding pada ACC kali ini,” katanya.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman mencipta sensasi di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan apabila menyambar emas berganda iaitu keirin dan pecut individu pada ACC 2023 yang ­berakhir pada Isnin lalu.

Rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menampilkan semangat terpuji apabila menyumbang gangsa acara keirin sekalipun terbabit dalam kemalangan di separuh akhir sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badannya.

Turut mencuri tumpuan adalah kejayaan seorang lagi pelumba elit lelaki negara, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis yang muncul juara Asia buat kali pertama selepas meraih pingat emas acara kegemarannya, satu kilometer ujian masa individu (ITT).

Fadhil turut beraksi cemerlang apabila mengetuai trio pecut berpasukan dibarisi dua pelumba muda iaitu Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah meraih pingat gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI