PONTIAN – Kementerian Pertahanan telah meluluskan sebanyak 43 permohonan bagi membina rumah baharu menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga Jun ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, dalam tempoh yang sama juga, kementerian telah menyiapkan pembaikan membabitkan 169 rumah veteran ATM yang mengalami kerosakan di seluruh negara.
Beliau berkata, kementerian berhasrat untuk membina lebih banyak kediaman baharu serta membaik pulih rumah veteran ATM dari semasa ke semasa.
“Setiap tahun, permintaan bagi pembinaan rumah baharu ini menunjukkan peningkatan. Pada tahun lalu, jumlah peruntukan adalah untuk membina 25 buah rumah dan jumlah itu meningkat kepada 43 yang telah diluluskan.
“Di peringkat kementerian, penilaian sentiasa dilakukan kerana kita mengambil maklum inisiatif Perumahan Veteran ATM amat membantu golongan veteran kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan rumah veteran ATM kepada balu anggota di Jalan Jaya Ayer Baloi, di sini hari ini.
Rumah itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur itu dianggarkan bernilai RM85,000 dan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Adly berkata, kementerian akan cuba mendapatkan peruntukkan yang lebih tinggi menerusi Bajet bagi memastikan Inisiatif Perumahan Veteran ATM dapat diteruskan meskipun berdepan cabaran kenaikan kos barang binaan.-KOSMO! ONLINE