PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap pemilik Facebook, Meta bagi memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.
MCM dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan berkenaan adalah perlu untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan.
Jelas kenyataan itu, platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja, agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan- iklan penipuan.
“Lantaran itu, pihak MCMC telah menghubungi pihak Meta, syarikat induk Facebook untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.
“Namun, di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak MCMC, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan dan maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam,” kata kenyataan itu.
Tambah MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi sedia ada.
“Selain itu, ia termasuk juga rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat, ‘phishing’ ataupun sebarang kandungan yang menggugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE