fbpx

Najib tarik balik 2 rayuan dapatkan dokumen transaksi kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik dua rayuannya bagi mendapatkan 19 dokumen berkaitan transaksi kewangan melibatkan firma pelaburan Goldman Sachs dan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya.

Ekoran perkembangan itu, Mahkamah Persekutuan membatalkan kedua-dua rayuan bekas Perdana Menteri tanpa mendengar meritnya selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan bantahan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan mewakili Najib memaklumkan, pihaknya menarik balik kedua-dua rayuan utama itu.

Ujar Muhammad Shafee, rayuan ditarik balik tanpa prejudis bagi membolehkan pihaknya mengemukakan semula permohonan di semua peringkat mahkamah apabila saksi-saksi berkenaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memaklumkan pihaknya tidak membantah tindakan Najib menarik balik rayuan kerana perayu mempunyai hak untuk memohon semula pada perbicaraan kelak.

Najib sepatutnya merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya mendapatkan 19 dokumen itu untuk digunakan pada perbicaraan kes 1MDB yang sedang dihadapinya. Kes itu disambung pada 7 Julai ini.

Pada 8 Disember 2022, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said menolak rayuan Najib selepas berpuas hati dokumen berkaitan dakwaan dana yang diterima oleh keluarga Zeti tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI