PETALING JAYA – Aksi penjenayah dikejar polis lebih 20 minit berakhir apabila kereta dipandu suspek merempuh tembok penghadang jalan di Penchala Link, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 26 tahun pada mulanya enggan berhenti untuk pemeriksaan polis di Persiaran Surian, Kota Damansara, kira-kira pukul 3.48 pagi.
“Suspek yang bekerja di sebuah kedai dobi di Subang Jaya itu, kemudiannya memecut laju sejauh 10 kilometer sehingga terbabas melanggar tembok penghadang jalan.
“Motif suspek melarikan diri adalah kerana positif dadah jenis syabu, terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan disyaki memiliki peralatan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kereta jenis Proton Waja milik suspek turut dirampas untuk pemeriksaan lanjut.
Suspek yang ditangkap ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE