PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri di seluruh semenangjung sehingga pukul enam petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, cuaca buruk berkenaan melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Johor.
“Antara kawasan yang terlibat adalah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Di Kelantan kawasan Gua Musang manakala di Terengganu pula, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Seterusnya, Pahang melibatkan kawasan Raub, Tanah Tinggi Cameron dan Bentong. Bagi Selangor, kawasan terlibat adalah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling. Untuk negeri Johor adalah Kluang, Mersing serta Muar,” katanya.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE