KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan Program Jualan Rahmah (PJR) bergerak di 33 lokasi perumahan berpendapatan rendah (B40) seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jualan tersebut akan dilaksanakan di 11 kawasan parlimen Kuala Lumpur pada 24 Jun hingga 1 Ogos.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, matlamat utama PJR kali ini adalah untuk memastikan barangan Jualan Rahmah sampai terus ke golongan B40.
“Sebelum ini, kami terima aduan tentang PJR yang dilakukan di pasar raya besar yang dikatakan tidak sampai terus ke keluarga yang memerlukan.
“Jadi, kami bawa jualan ini terus ke kawasan perumahan penduduk B40 yang dipilih sendiri oleh ahli parlimen seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kali ini, jualan akan dilakukan dengan konsep bergerak (mobil). Jumlah diskaun yang diberikan juga boleh menjangkau 30 peratus untuk setiap barangan.
“Kami berharap agar program ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia,” katanya.
Ariffin berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Pelancaran Jualan Rahmah Bergerak di kawasan perumahan B40 di KPDN KL, Menara Sunway Putra di sini, hari ini.
“Sebanyak 12 barang keperluan asas utama akan dijual dengan harga rendah dan didiskaunkan.
“Antara barangan asas yang ditawarkan ialah ayam, daging, ikan, beras, minyak masak, telur ayam, santan, kicap, sos cili, milo dan lain-lain dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.
Pada masa sama, Ariffin turut berpesan kepada orang ramai agar memberi keutamaan kepada golongan yang lebih memerlukan sepanjang berlangsungnya Program Jualan Rahmah.
“Matlamat utama Jualan Rahmah adalah untuk mengurangkan beban kos hidup golongan B40 dan miskin tegar.
“Jadi, berilah keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Kalau tidak tergolong sebagai B40, jangan beli,” pesannya.
PJR kali ini akan dijalankan seiiring dengan promosi aplikasi PriceCatcher dan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 (HPK 2023) yang bakal diadakan di Piazza Pavilion, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 hingga 30 Julai. – KOSMO! ONLINE