fbpx

KOM akan umum pengarah teknikal baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARK (tengah) akan mengumumkan pengarah teknikal baharu selepas KOM bermesyuarat dengan MSN pada Isnin ini. - KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sedia membawa masuk pengarah teknikal baharu bagi menggantikan jawatan ketua jurulatih sebelum ini dipegang oleh Zaki Sadri yang melepaskan tanggungjawabnya hujung bulan lalu.

Naib Presiden KOM, Datuk Mark William Ling mendedahkan, pihaknya sudah mempunyai seorang calon daripada luar negara yang akan diumumkan selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin ini.

Menurutnya, sudah tiba masanya KOM kembali menggunakan khidmat pengarah teknikal yang akan dibantu tiga jurulatih mengetuai bahagian pecut, lompatan dan balingan daripada peranan ketua jurulatih sebelum ini.

“Saya tidak mahu ketua jurulatih kerana sudah terbukti tugas ketua jurulatih kurang berkesan dalam lapan tahun kebelakangan ini. Tahap dan kebajikan jurulatih tidak meningkat tetapi anda tidak boleh menyalahkan mereka.

“Jadi saya mahu membawa pengarah teknikal kemungkinan besar dari luar negara. Buat masa ini saya ada empat calon dan dua daripadanya adalah senior (veteran). Mereka amat menyukai Asia dan sudi menghulurkan bantuan.

“Kita ada jurulatih tempatan yang bagus tetapi mereka kurang diberikan pendedahan dalam tiga hingga empat tahun kebelakangan. Jadi saya perlukan pengarah teknikal untuk meningkatkan proses ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

ANDRE kini berlatih di Jerman bersama Ashikin, Izzul dan Norliyana sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga Asia di Thailand bulan depan.

Dalam masa sama, Mark memberitahu Zaki diberikan kontrak sebagai ketua jurulatih selama empat bulan menghadapi Sukan SEA Kemboja 2023 dan berakhir pada 31 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM itu turut menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang mencetuskan isu membabitkan kebajikan atlet dan jurulatih.

Sementara itu, Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim lebih berminat memberikan fokus kepada persediaan sebahagian atlet yang dihantar berlatih di luar negara antaranya ke Singapura, Jerman dan Budapest, Hungary.

“Andre (Anura Anuar), Nurul Asyikin (Abas), Izzul Hanif (Mohd. Raffi) dan Norliyana (Kamaruddin) ke Jerman. Irfan (Shamsuddin) ke Budapest dan Umar (Osman) sekarang sedang berlatih bersama jurulatihnya (Simon Lau) di Singapura.

“Azeem (Fahmi) akan balik ke sini minggu depan. Shereen (Samson Vallabouy) kini dalam latihan intensif dengan jurulatih baharu di Amerika Syarikat selain ada beberapa pertandingan di sana.

“Semua akan pulang dan bertanding di Kejohanan Olahraga Asia di Thailand bermula 12 Julai depan kerana ini adalah saringan akhir untuk pemilihan ke Sukan Asia Hangzhou di China (pada September nanti),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI