KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan bakal mewujudkan pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bakal menghimpunkan kelompok masyarakat daripada kumpulan pertengahan berpendapatan M40, B40 dan rentan miskin.
“Mereka akan tinggal dalam satu kawasan kejiranan sama dengan harmoni serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
“Dalam kawasan kejiranan ini terdapat kediaman jual dan juga sewa untuk memenuhi keperluan serta mengikut kemampuan kumpulan pendapatan yang terlibat secara bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Tempat Letak Kereta (TLK) Taman Tasik Metropolitan Kepong, sebentar tadi.
Anwar berkata, pembangunan Kejiranan Madani ini akan melibatkan beberapa komponen pembangunan kediaman mampu milik untuk kumpulan sasar tertentu.
“Antaranya pembangunan Residensi Prihatin Madani kepada golongan M40 dengan unit berkeluasan 74 meter persegi bernilai RM200,000 seunit.
“Bagi golongan B40 ialah pembangunan Residensi Madani dengan unit ditawarkan berkeluasan 70 meter persegi bernilai RM180,000 seunit,” katanya.
Katanya lagi, golongan bujang atau belia baru bekerja serta pasangan muda yang baru berkahwin juga boleh menikmati peluang sama menerusi pembangunan Residensi Sejahtera Madani.
“Perumahan ini disasarkan kepada golongan bujang atau belia yang baru bekerja serta pasangan muda yang baru berkahwin.
“Disasarkan umur mereka antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan seisi rumah RM4,000 sebulan. Kumpulan ini akan ditawarkan untuk membeli unit berharga RM150,000 seunit dengan keluasan 65 meter persegi,” katanya.
Bagi kumpulan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah untuk didiami, beliau berkata, kerajaan tetap akan menyediakan perumahan untuk tujuan sewaan.
“Terdapat dua skim yang akan diperkenalkan iaitu Rumah Majlis Madani berkeluasan 65 meter persegi (tiga bilik) bagi golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah dengan kadar sewa sebanyak RM600 sebulan untuk lima tahun sewaan.
“Pembangunan Rumah Ihsan Madani pula disasarkan kepada B40 dan rentan miskin di WPKL dengan kadar sewa RM300 sebulan berkeluasan 65 meter persegi, tiga bilik,” katanya.
Anwar menegaskan, rumah-rumah yang telah dibeli, tidak boleh dijual kepada orang lain bagi tujuan mendapatkan keuntungan.
“Bagi memastikan hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah tercapai, suka saya ingatkan bahawa rumah-rumah yang telah dibeli, tidak boleh dijual kepada orang lain bagi tujuan mendapatkan keuntungan.
“Rumah-rumah ini hanya boleh diwariskan kepada ahli keluarga sahaja dan jika pemilik ingin jual, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja boleh beli unit-unit tersebut kerana ia penting bagi memastikan pembangunan ini mencapai matlamatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE