PETALING JAYA – Penyanyi Noryn Aziz meminta orang ramai memberi ruang kepada artis untuk berkarya menerusi fesyen yang digayakan.
Kata Noryn atau nama penuhnya Norazmahwati Abdul Aziz, 46, fesyen pelik atau sebaliknya, semua itu merupakan perkara penting kepada seseorang artis untuk mempersembahkan idea secara visual.
“Artis memang suka berkarya dan berilah ruang kepada mereka untuk melakukannya.
“Namun jika terlalu pelik dan kerap mendapat kritikan ramai, mungkin sesuatu perlu dilihat semula.
“Artis itu perlu selesa dengan fesyen yang digayakan dan bukannya sekadar ingin menarik perhatian semata-mata,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kecaman ramai terhadap mana-mana artis yang berpakaian pelik, dia meminta teguran tersebut dilakukan dengan cara lebih berhemah.
Meskipun begitu, selebriti itu sendiri perlu juga menngambil kira semua kritikan dan tidak hanya hidup dalam dunianya sendiri sahaja.
“Kadang-kadang setiap perkara yang orang cakap perlu dititikberat. Pasti ada sebab orang mengkritik.
“Namun, teguran perlulah kena dengan caranya, janganlan melampau-lampau sehingga hendak boikot.
“Tidak elok persekitaran begitu. Hakikatnya artis bekerja keras untuk beri yang terbaik tetapi adakalanya tersasar sebab mereka hanya manusia biasa,” ujarnya.
Noryn berkata demikian bagi mengulas segelintir selebriti yang sering menerima kecaman kerana fesyen yang digayakan.
Sebelum ini, nama penyanyi Aina Abdul antara yang menjadi bualan hangat netizen kerana kerap muncul dengan busana pelik seperti berkonsepkan tilam, pasu bunga dan trofi anugerah Grammy.
Perkara tersebut menjadi pertikaian ramai sehingga ada yang melabel Aina sebagai keras kepala kerana tidak mengendahkan komen masyarakat dan ingin memboikotnya. – KOSMO! ONLINE