JOHOR BAHRU – Isu status tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini diwartakan sebagai Tanah Kesultanan telah dibincangkan antara kerajaan negeri bersama wakil masyarakat golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, perkara itu dibuat secara meja bulat dan bukan secara terbuka melibatkan pihak berkepentingan.
Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan tiada sebarang provokasi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan.
“Ya, ada perbincangan berlaku (berkenaan tanah adat masyarakat Orang Asli diwartakan Tanah Kesultanan) kerana memang mereka bertanyakan soal ini, tetapi perbincangan itu diadakan dalam keadaan meja bulat, bukan perbincangan terbuka.
“Ini kerana saya bimbang ada pihak ambil kesempatan dan lakukan provokasi sekiranya perbincangan dibuat di luar, jadi sebarang perbincangan berkaitan Tanah Kesultanan ini perlu dibuat dengan teliti.
“Walaubagaimanapun, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan kita harap perkara ini selesai dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah, di sini hari ini.
Zahari turut memberitahu, pihaknya telah meninjau projek pertanian dijalankan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi yang mana kawasan telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan. – KOSMO! ONLINE