PETALING JAYA – Kemunculan HibGlam disambut baik oleh persatuan seni tanah air yang berharap portal hiburan terbaharu itu dapat membawa perubahan besar dalam pelaporan dunia hiburan tempatan.
Menurut Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, kehadiran HibGlam dalam dunia seni tempatan diharap mengukuhkan lagi jenama Kosmo! sebagai akhbar berpengaruh negara ini.
Katanya, pembaharuan menerusi inisiatif kemunculan HibGlam sememangnya memenuhi keperluan semasa dan diharap setiap pelaporannya mengikuti etika kewartawanan.
“Saya teruja mengikuti perkembangan Kosmo! yang semakin memperkasakan segmen media digital dengan portal HibGlam ini.
“Saya yakin HibGlam terus mengekalkan etika kewartawanan unggul bersandarkan reputasi akhbar Kosmo! yang memayungi portal ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, pelakon filem Sembilu 2004 itu juga menitipkan harapan agar HibGlam menjadi platform aktif berkongsi berita berita berkaitan industri termasuk cerita di belakang tabir dan kehidupan artis yang tidak didendang.
“Bukan saja kisah selebriti, diharap isu semasa membabitkan industri seni juga dapat diketengahkan.
“Harapnya HibGlam tidak keberatan mengetengahkan banyak cerita mengenai kehidupan selebriti yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat,” katanya lagi.
Bagi Ketua Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, ‘kelahiran’ portal HibGlam sebagai inisiatif tepat dalam melebarkan pengaruh akhbar Kosmo! selaku media arus perdana.
Katanya, pelancaran portal itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana dalam era serba pantas ini nyata HibGlam memberi nilai tambah dalam perkongsian berita.
“Tahniah dan syabas kepada Kosmo! atas pelancaran Portal hiburan baharu HibGlam yang tampak segar. Saya merasakan ini adalah satu inisiatif yang bagus dan selaras dengan perkembangan industri ke arah pendigitalan,” ujarnya.
Sementara itu, Eksekutif Promosi Kanan, Nova Music, Rouslan Moktar berkata, HibGlam memberi pilihan kepada pelayar mendapatkan berita lebih sahih dan pantas.
Ujarnya, dalam kebanjiran pelbagai portal serta blog terutama membabitkan berita dunia hiburan, integriti sesebuah wadah berita juga perlu diberi keutamaan.
“Dunia globalisasi dengan maklumat di hujung jari juga wajar mengutamakan kredibiliti dan kesahihan. Saya yakin HibGlam punya dua elemen penting ini.
“Harapannya HibGlam meneruskan perjuangan membantu industri seni tanpa bias,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengacara terkenal dan juga pengasas SukeTV, Datuk AC Mizal berharap HibGlam dapat memeriahkan lagi industri seni tempatan dengan kepelbagaian pelaporan berita.
“Seronok apabila dapat tahu Kosmo! kini ada portal hiburan baharu, HibGlam. Semakin meriah industri kita.
“Harapan saya satu, laporkan berita sahih tanpa menggunakan tajuk clickbait sehingga mencetuskan salah faham ramai,” ujarnya.