IPOH – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri lampin pakai buang dan barangan basah di sebuah pasar raya di Klebang, di sini April lalu.
Tertuduh, Cheong Khang Wen, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret S. Punitha.
Khang Wen yang bertugas di sebuah sekolah menengah di sini didakwa mencuri dua beg lampin pakai buang, dua peket ikan salmon fillet seberat 512 gram (g) dan 432g, satu peket ikan merah (648g) dan satu peket ikan kerapu (540 gram) dengan anggaran kesemua barang berjumlah RM243.47.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pasar raya di Klebang dekat Chemor pada pukul 7.25 malam, 17 April lalu.
Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan ke atas tertuduh, namun peguam Elaine Foong memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.
Elaine berkata, anak guamnya yang mengalami masalah psikiatri dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh. Tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi dan menanggung ibu bapa yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE