IPOH – Bermula dengan sebuah restoran berasaskan makanan tradisi masyarakat Cina iaitu dim sum pada 2018, Team Some Sdn. Bhd. (Team Some) kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan menjual produk sejak beku makanan itu di beberapa negara termasuk di Asia Barat.
Pengarah Urusan Team Some yang juga Pengasas Canning Dim Sum, Ceylyn Tay berkata, antara negara Asia Barat yang menjual produk dim sum halal keluaran syarikat itu ialah Emiriyah Arab Bersatu, Oman dan Kuwait.
Selain itu, katanya, ia turut mendapat permintaan di Singapura, Hong Kong, Australia serta Thailand dan sasaran seterusnya adalah untuk menembusi Brunei.
“Pengguna tempatan boleh mendapatkan produk kami di Canning Dim Sum dan Jom Dim Sum di restoran kami,” katanya sini baru-baru ini.
Team Some antara syarikat yang mendapat bimbingan dan khidmat nasihat Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030.
Syarikat itu menyertai pelbagai program jualan dalam dan luar negara serta turut mendapat bantuan kewangan dan bimbingan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.
Katanya, mereka mula menjadi pengilang dan pengeluar dim sum diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sejak 2019.
“Kami mengambil masa 10 bulan untuk memperoleh pensijilan halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan beberapa sijil lain yang mematuhi piawaian makanan standard antarabangsa.
“Dengan memiliki sijil-sijil ini, ia memudahkan produk syarikat kami menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Tambahnya, restoran Canning Dim Sum dan Jom Dim Sum di seluruh negara dimiliki oleh francaisi, kecuali cawangan di Ipoh.
“Kami ada beberapa outlet di luar Perak iaitu di Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Cameron Highlands, Pahang dan Kedah.
“Canning Dim Sum dan Jom Dim Sum dua jenama berbeza, tetapi berasaskan menu lebih kurang sama.
“Jom Dim Sum restoran makanan segera dim sum halal pertama di dunia, manakala Canning Dim Sum pula restoran halal dim sum menawarkan nilai tradisional Cina, tetapi dengan pendekatan kontemporari, selain menawarkan harga berpatutan,” katanya.
Ujarnya, syarikat itu menawarkan lebih 100 jenis pau dan dim sum.