PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan dua laluan kontra di beberapa kawasan sekitar ibu negara, bermula bulan depan.
Pengarah Eksekutif Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Sulaiman Mohamed berkata, ia bagi mengurangkan kesesakan dan memberi keutamaan laluan kepada kenderaan pengangkutan awam.
“Antara kawasan terlibat adalah Jalan Ampang (dari persimpangan Jalan Rhu sehingga persimpangan Jalan Tun Razak).
“Laluan kontra ini bertujuan bagi menyediakan satu laluan khas bas pada waktu puncak (pagi) dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi untuk bantu pergerakan bas supaya menepati waktu ketibaan di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Sebagai laluan alternatif, terdapat pusingan-U (U-Turn) dari arah pusat bandar ke Ampang di persimpangan Jalan Jelatek dan di bawah jejambat persimpangan MRR2.
“Bagi arah Ampang menuju ke pusat bandar, pusingan-U adalah di persimpangan Jalan Jelatek dan persimpangan Jalan Tun Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penambahan jarak bukaan juga akan dilakukan di laluan kontra sedia ada di Jalan Maharajalela – Jalan Cheras pada waktu puncak petang.
Jelasnya, ini membolehkan kenderaan masuk ke laluan kontra lebih awal dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di sekitar Jalan Cheras.
“Sebagai persiapan untuk melaksanakan laluan kontra di kawasan yang terlibat, DBKL akan meletakkan papan tanda makluman berkaitan pelaksanaan laluan kontra ini dan membuat hebahan kepada pengguna jalan raya melalui paparan skrin Sistem Mesej Pelbagai (VMS).
“Selain itu, DBKL juga turut mengadakan perbincangan dasar bersama agensi yang terlibat seperti Prasarana Malaysia Berhad, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Polis Diraja Malaysia.
“Usaha ini sekali gus dapat meningkatkan tahap kebolehpercayaan pengguna jalan raya terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan di Kuala Lumpur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE