JERANTUT – Penduduk sekitar Damak di sini berasa lega selepas seekor beruang matahari yang sering melintas jalan di kampung berkenaan berjaya ditangkap hari ini.
Beruang jantan seberat kira-kira 93 kilogram itu berjaya ditangkap selepas termasuk ke dalam perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Seorang penduduk kampung Che Noraizi Che Hat, 47, berkata, beruang berkenaan memasuki perangkap berkenaan awal pagi ini selepas kira-kira seminggu diletakkan di tepi jalan berkenaan.
“Pagi tadi saya terdengar bunyi dentuman dan apabila pergi ke perangkap berkenaan saya dapati terdapat seekor beruang terperangkap sebelum saya menghubungi Perhilitan.
“Pihak Perhilitan telah datang dan mengambil beruang daripada perangkap berkenaan dan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Perak,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, perangkap yang menggunakan umpan minyak masak berkenaan dipasang Perhilitan minggu lalu selepas penduduk membuat aduan kewujudan haiwan liar berkenaan.
Katanya, kewujudan beruang di kawasan itu yang sering kelihatan melintas jalan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat.
“Boleh katakan ia sering melintas jalan ke tempat pembuangan sampah bagi mencari makanan, dan ini juga membimbangkan penduduk kerana takut terserempak dan diserang haiwan itu,”katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang Rozidan Md. Yasin berkata, beruang berkenaan telah ditangkap dan berada dalam keadaan sihat dan cergas. – KOSMO! ONLINE